Pemimpin tak kira siapa jangan lupa peranan jasa media – Sivakumar

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang menteri menunjukkan ‘sikap kasar’ terhadap wartawan semasa sidang media baru-baru ini disifatkan sebagai tidak sopan dan menghina profesion kewartawanan.

Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, cara menteri terbabit berdepan dengan wakil media memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat sepatutnya dielakkan.

“Wartawan tersebut hanya menjalankan tugasnya. Menyoal adalah tanggungjawab hakiki seorang wartawan manakala menjawab dengan berhemah ialah kewajipan seorang menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivakumar, tindakan yang bersifat mengugut atau menghina wartawan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin.

Sebaliknya, keupayaan mengekalkan ketenangan ketika diasak soalan walaupun soalan itu provokatif atau tidak menyenangkan adalah tanda kebijaksanaan dan keperibadian seorang pemimpin sejati.

“Media berperanan menyampaikan kebenaran kepada rakyat. Jika pemimpin memilih untuk menekan dan kasar terhadap wartawan, maka ruang mencari kebenaran akan tertutup dan akhirnya rakyat yang akan rugi,” ujarnya.

Beliau menegaskan media bukan musuh kerajaan sebaliknya rakan semak dan imbang yang membantu memastikan pentadbiran berjalan dengan telus dan bertanggungjawab.

“Kita jangan lupa peranan besar media yang selama ini banyak berbakti dalam pelbagai sudut menyampaikan maklumat tepat, membina kesedaran rakyat dan menjadi suara kepada mereka yang tidak berpeluang bersuara.

“Tanpa media yang bebas dan dihormati, demokrasi akan pincang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam dunia hari ini, setiap tindak-tanduk pemimpin mudah dirakam dan dinilai oleh masyarakat, justeru setiap tutur kata dan perlakuan harus dijaga dengan berhemah.

Sivakumar menyeru agar semua menteri dan pemimpin kerajaan terus menghormati peranan media serta memulihkan keyakinan terhadap kebebasan bersuara di negara ini.

“Tidak bererti seseorang berkuasa boleh berkasar bahasa. Ia bukan tanda kekuatan sebaliknya mencerminkan kelemahan dan ketidakmatangan.

”Kita perlu pupuk semula budaya sopan santun dan komunikasi berhemah agar ia menjadi cerminan kepada kematangan demokrasi negara,” katanya lagi.