Jika hukuman gantung berkesan, mengapa kes dadah masih berlaku? Sivakumar

KUALA LUMPUR – “Jika hukuman gantung itu benar-benar berkesan, mengapa kes pengedaran dadah masih berlaku?,” 

Demikian persoalan yang dibangkitkan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar berhubung pelaksanaan hukuman mati mandatori yang kerap dilaksanakan di Singapura.

Beliau berkata, tindakan Republik itu melaksanakan hukuman gantung terhadap rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman yang disabitkan kesalahan menyeludup 51.84 gram heroin pada 2014, hanya menunjukkan bahawa hukuman keras tidak semestinya menjadi penyelesaian.

“Perbuatan itu memang satu kesalahan di sisi undang-undang dan wajar dihukum, tetapi tiada siapa berhak mengambil nyawa orang lain. Hukuman gantung tidak sepatutnya menjadi pilihan kerana pada asasnya ia juga satu bentuk pembunuhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hukuman terhadap Pannir merupakan yang kedua melibatkan rakyat Malaysia di Singapura dalam tempoh kurang dua minggu selepas satu lagi pelaksanaan hukuman sama dijalankan pada 25 September lalu.

Sivakumar berkata, keadaan ini membuktikan bahawa hukuman gantung mandatori gagal berfungsi sebagai langkah pencegahan terhadap jenayah pengedaran dadah.

“Bayangkan penderitaan ahli keluarga yang menerima jasad insan tersayang akibat hukuman seumpama ini. Hukuman gantung hanya menghukum tanpa memberi peluang kedua, sedangkan masalah sebenar masih berterusan,” katanya.

Beliau menambah, Amnesty International turut mengecam pelaksanaan hukuman mati oleh Singapura bagi kesalahan dadah, dengan menegaskan ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia antarabangsa dan mendesak agar ia dihentikan sepenuhnya.

“Malaysia sendiri telah mengambil langkah lebih progresif apabila memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan Madani. Pendekatan ini lebih manusiawi dan memberi ruang untuk keinsafan serta keadilan sejati,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan dasar hukuman mati Singapura sebagai tidak tepat dan perlu dikaji semula sambil menekankan bahawa ramai belia yang terjebak dalam penyeludupan dadah hanyalah mangsa keadaan atau ‘keldai dadah’.

“Saya percaya, jika golongan muda diberi peluang pekerjaan yang baik dan gaji yang mencukupi, mereka tidak akan terlibat dalam kegiatan seperti ini.

”Ibu bapa juga perlu memainkan peranan memberi bimbingan dan nasihat supaya anak-anak tidak menghancurkan masa depan serta maruah keluarga,” tegasnya. -MalaysiaGazette