KUALA LUMPUR – Inisiatif berkaitan penyakit kanser di negara ini perlu diperbanyakan termasuk memperkenalkan skim insurans rawatan kanser bagi membantu pesakit khususnya golongan kurang berkemampuan.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, seperti mana kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar petrol RON95 melalui BUDI95 demi kesejahteraan rakyat, langkah serupa juga wajar diberi tumpuan dalam aspek kesihatan.
“Ramai pesakit kanser, khususnya daripada golongan B40 tidak mampu meneruskan rawatan kerana beban kewangan.
“Walaupun ada skim insurans mampu milik seperti Perlindungan Tenang, pelan tersebut tidak merangkumi kos kemoterapi yang sangat diperlukan pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, statistik menunjukkan kira-kira seorang daripada 10 lelaki dan seorang daripada sembilan wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser sepanjang hayat mereka, sekaligus menjadikan penyakit itu sebagai pembunuh senyap yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan dan NGO telah menjalankan pelbagai program saringan awal, nasib pesakit yang dikesan pada tahap tiga dan empat masih membimbangkan kerana kos rawatan tinggi dan tidak ditanggung kebanyakan pelan asas.
“Perlindungan Tenang wajar diperkasa dengan memasukkan skim rawatan kemoterapi seperti mana manfaat lain yang ditawarkan termasuk kematian, hilang upaya dan kemalangan,” ujarnya.
Untuk makluman, kanser kini merupakan antara punca utama kematian di Malaysia, selepas penyakit jantung.
Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR), lebih 48,000 kes baharu dikesan setiap tahun dengan kebanyakan pesakit hanya mendapatkan rawatan ketika penyakit telah berada di tahap lewat.
Kos rawatan pula dianggarkan mencecah antara RM20,000 hingga RM300,000 bergantung kepada jenis kanser dan kaedah rawatan, termasuk pembedahan, radioterapi serta kemoterapi yang pastinya membebankan golongan miskin.
Ketika ini, Program Saringan Kanser Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada pengesanan awal penyakit seperti kanser payudara, serviks dan kolorektal.
Namun, beban kewangan rawatan kekal sebagai cabaran terbesar selepas pesakit disahkan menghidap penyakit itu.
Justeru, Sivakumar menggesa isu ini dibahas di Parlimen agar satu skim khusus dapat diperkenalkan bagi meringankan beban pesakit kanser.
“Daripada membincangkan perkara yang kurang realistik, adalah lebih baik ahli politik memberi tumpuan kepada pembangunan kesihatan rakyat dengan menyediakan skim rawatan yang mampu dicapai semua golongan,” tegasnya. -MalaysiaGazette