KUALA LUMPUR – Gejala buli yang semakin membimbangkan di sekolah-sekolah memerlukan tindakan lebih berani daripada sekadar penganjuran kempen kesedaran.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan pendidikan formal anti-buli dalam silibus sekolah.
Ini sebagai langkah jangka panjang mendidik murid mengenai bahaya buli dan cara menanganinya.
“Kempen sahaja tidak cukup. Kita perlu memasukkan pendidikan anti-buli dalam kurikulum sekolah. Anak-anak mesti diberi kefahaman sejak awal apa itu buli, apa kesannya dan apa tindakan yang perlu diambil jika menjadi mangsa atau menyaksikan kejadian buli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivakumar menyambut baik inisiatif KPM untuk melaksanakan kempen anti-buli menyeluruh di sekolah rendah dan menengah, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Namun, katanya, pendidikan berstruktur jauh lebih berkesan kerana ia menyentuh terus minda dan sikap murid.
Beliau mencadangkan pendidikan anti-buli dimanfaatkan melalui platform digital DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) yang sudah menyediakan bahan interaktif seperti e-buku, video pembelajaran, podcast dan gamifikasi.
“Dengan cara ini, murid bukan sahaja membaca teori, tetapi boleh memahami isu buli melalui pendekatan lebih kreatif dan dekat dengan dunia mereka,” jelasnya.
Sivakumar turut menarik perhatian kepada Program KiVa di Finland, yang terbukti berjaya mengurangkan kadar buli di sekolah secara signifikan.
Program itu, katanya, dibangunkan oleh University of Turku dengan sokongan kerajaan Finland dan menyediakan modul serta bahan praktikal untuk kegunaan sekolah.
“Kita boleh adaptasi pendekatan ini di Malaysia. Ia terbukti berkesan secara saintifik. Jika dilaksanakan, ia mampu mengurangkan kerisauan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah,” katanya lagi.
Menurut Sivakumar, pendidikan anti-buli juga perlu melibatkan semua warga sekolah termasuk guru dan staf sokongan, kerana mereka adalah barisan hadapan yang dapat mengenal pasti tanda-tanda awal dan menangani kes sebelum menjadi serius.
“UNESCO sendiri menegaskan pendidikan anti-buli akan mewujudkan suasana sekolah lebih positif dan selamat. Jadi, ia tidak boleh terbatas kepada murid sahaja mesti merangkumi keseluruhan ekosistem sekolah,” tegas beliau.
Sivakumar menegaskan, kes-kes buli yang mengorbankan nyawa jelas membuktikan isu ini tidak boleh dipandang ringan namun dengan pendidikan berterusan dan pendekatan menyeluruh, budaya buli dapat dibanteras sekaligus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang harmoni. -MalaysiaGazette