Haramkan TikTok jika gagal bendung buli siber seperti negara lain- DSK

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) menggesa kerajaan supaya tidak teragak-agak untuk mengharamkan TikTok di Malaysia sekiranya platform itu terus gagal membendung isu buli siber dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pengasas dan Presiden DSK, Datuk N Sivakumar berkata, teguran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini jelas membuktikan TikTok tidak serius dalam menangani masalah buli siber khususnya melibatkan komuniti Tamil.

“Jika TikTok terus gagal, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengharamkan platform ini. Banyak negara sudah berbuat demikian atas faktor keselamatan dan kestabilan politik. Malaysia tidak mustahil akan menyusul,” katanya kepada MalaysiaGazette. 

Beliau menegaskan, kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) harus dimanfaatkan untuk mengesan bahasa berunsur lucah, ganas dan buli secara automatik bagi mengelakkan tragedi seperti yang menimpa mendiang Esha berulang lagi.

“Penyedia platform perlu lebih proaktif. Dengan AI, komen berbaur keganasan atau penghinaan boleh dikesan dan dihapuskan segera. Separuh masalah akan selesai jika teknologi digunakan dengan betul,” tegasnya.

Sivakumar berkata, kelewatan TikTok menambah moderator bahasa Tamil membuktikan syarikat itu gagal menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia.

“Isu buli siber tidak boleh dianggap remeh. Ia bukan sekadar mencabar kesabaran pengguna, malah boleh mengancam nyawa. Jangan biarkan kelemahan ini menular sehingga Malaysia terpaksa masuk senarai negara yang mengharamkan TikTok,” ujarnya. 

Sebelum ini Fahmi melahirkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati dengan sikap pengurusan TikTok yang dianggap tidak serius menangani isu membabitkan aplikasi dalam talian itu.

Malah difahamkan TikTok dilihat gagal menangani beberapa isu terutama berkaitan penipuan dan buli siber.

“Isu yang kami bangkitkan berkenaan dengan aspek keselamatan dalam talian, saya meminta supaya pasukan TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan perbincangan, meletakkan beberapa tempoh masa dan tindakan yang perlu mereka lakukan.

“Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius dalam mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah tertentu yang telah kami bangkitkan sebelum ini,” kata Fahmi. -MalaysiaGazette