KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menyambut baik pengumuman kerajaan yang bakal menyalurkan peruntukan lebih meluas kepada masyarakat India melalui pelbagai kementerian.
Ini termasuklah cadangan menjadikan 200 kuil Hindu berdaftar sebagai Pusat Komuniti Setempat.
Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar berkata, pendekatan itu jmenunjukkan komitmen kerajaan Madani dalam memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi dan modal insan masyarakat India.
“Mahima menyambut baik pembentangan Perdana Menteri yang umum bantuan kepada masyarakat India bukan hanya tertumpu kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) semata-mata.
”Sebaliknya tetapi turut disalurkan melalui pelbagai kementerian lain dalam bidang pendidikan, perumahan dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, cadangan memperuntukkan RM20 juta bagi menjadikan kuil Hindu sebagai pusat komuniti adalah langkah positif yang berpotensi membawa transformasi menyeluruh kepada masyarakat setempat.
“Apa yang menarik dan memberangsangkan saya ialah sebanyak 200 rumah ibadat Hindu yang berdaftar akan diberi peruntukan ini.
“Ia cadangan yang bagus demi mentransformasikan kuil sebagai pusat komuniti bagi memantau dan membantu pembangunan sosiobudaya, sosioekonomi serta kecemerlangan modal insan kaum India,” jelasnya.
Sivakumar berkata, pemilihan kuil untuk inisiatif berkenaan perlu dilakukan secara telus dan berintegriti agar mendapat keyakinan masyarakat.
“Persoalan saya, bagaimana kerajaan akan memilih 200 rumah ibadat Hindu ini? Pemilihan tidak seharusnya dipengaruhi mana-mana faktor luar. Ia mesti dilakukan secara tepat, jujur dan telus supaya benar-benar diyakini rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette