KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) menegaskan langkah proaktif serta penguatkuasaan tegas perlu dilaksanakan segera bagi membendung peningkatan kes buli termasuk buli siber di negara ini.
Penaung merangkap Presiden DSK, Datuk N Sivakumar berkata, meskipun Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 telah berkuat kuasa secara rasmi namun kejadian buli masih lagi berlaku hingga menggugat keselamatan masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak.
“Walaupun akta telah dipinda dan penguatkuasaan sudah bermula, kes buli dan keganasan masih berleluasa. Ini menunjukkan rakyat tidak menyedari sepenuhnya kesan dan impak pengamalan akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pindaan kedua-dua akta tersebut memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pelaku buli melibatkan komunikasi berunsur ancaman, penghinaan atau cercaan yang boleh mendatangkan gangguan emosi atau ketakutan kepada mangsa.
“Namun apa yang membimbangkan, kita masih melihat kes yang semakin parah. Situasi ini mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan segelintir individu,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivakumar memetik jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada pihak akan terlepas daripada tindakan undang-undang dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dan semua pihak diminta tidak memanipulasi kes tersebut sehingga menimbulkan persepsi negatif.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya akta sedia ada dilaksanakan secara efektif dan dikaji semula sekiranya tidak membawa sebarang kesan terhadap keselamatan masyarakat.
“Pernah berlaku kes buli siber melibatkan seorang pempengaruh media sosial yang berakhir dengan tragedi bunuh diri, namun tertuduh hanya dikenakan denda RM100.
“Insiden sebegini telah saya bangkitkan sebelum ini dan ia seharusnya menjadi iktibar bahawa akta berkaitan perlu dikaji semula,” ujarnya.
Tegasnya lagi, isu buli harus dikendalikan dengan penuh berhemah dan ketepatan agar ia dapat diselesaikan tanpa menimbulkan sebarang implikasi lain yang boleh memudaratkan masyarakat.
“Cukup-cukuplah, beberapa tahun lepas kita sudah gempar dan kecewa dengan apa yang berlaku dengan adik Allahyarham Zulfarhan yang mati kerana dibuli dengan begitu tragis sekali, jangan juga lupa dengan mendiang T Naveen yang juga gemparkan negara ini.
Namun, tidak ada apa-apa berubah malah terus menjadi-jadi.
“Hari ini Allayarham adik Zara dan ramai lagi, sehingga bila kita hendak begini, jangan asyik retorik dan sekadar slogan,” ujarnya emosi. -MalaysiaGazette