RM50 juta SKRE: Apa jadi dengan dana perumahan pekerja estet? – Sivakumar

KUALA LUMPUR — Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia hari ini mempersoalkan nasib dana berjumlah RM50 juta di bawah Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estate (SKRE) yang diperkenalkan kerajaan bagi membolehkan pekerja ladang serta estet memiliki kediaman sendiri.

Presidennya, Datuk N Sivakumar berkata, walaupun skim itu diwujudkan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan dinaungi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) namun pelaksanaannya masih tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

“Kita dimaklumkan sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan di bawah Kesuma untuk membina rumah bagi para pekerja ladang dan estet namun sehingga hari ini para penduduk masih tidak tahu di mana dana tersebut digunakan.

“Penduduk sudah beberapa kali menyuarakan permintaan ini, malah sehingga ke perkarangan Parlimen tetapi masih tiada hasil,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, SKRE sepatutnya menawarkan pinjaman fleksibel kepada pekerja ladang untuk membolehkan mereka memiliki kediaman yang selesa namun sehingga kini perbincangan berkenaan pelaksanaannya masih tertangguh walaupun perkara itu pernah dibangkitkan di peringkat kementerian.

Sivakumar turut menegaskan isu perumahan pekerja estet bukan perkara baharu dan tidak sewajarnya hanya dijadikan kenyataan politik atau janji ketika lawatan menteri.

“Isu ini telah berlarutan terlalu lama. Malangnya, ia tidak pernah dibawa secara serius ke mesyuarat Jemaah Menteri atau dijadikan dasar rasmi kerajaan,” jelas beliau.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang sebelum ini dilaporkan media telah menyeru kerajaan mengambil langkah segera menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang dan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 ekar tanah di kawasan bandar bagi tujuan tersebut.

Bagaimanapun, Sivakumar mempersoalkan mengapa perkara berkenaan tidak dilaksanakan ketika Kulasegaran sendiri menjawat jawatan Menteri Sumber Manusia.

“Ketika memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia, beliau sendiri menjaga skim ini. Jadi, mengapa isu ini tidak dibincangkan secara menyeluruh pada ketika itu?” soalnya.

Beliau berharap Perdana Menteri dan Menteri Kesuma dapat memberi perhatian segera terhadap perkara tersebut bagi mengelakkan pekerja estet terus mengharapkan janji-janji kosong.

“Kami tidak mahu penduduk estet hanya menerima kata-kata manis setiap kali isu ini dibangkitkan. Kerajaan perlu melaksanakan tindakan konkrit dan menghentikan pemberian harapan palsu kepada komuniti yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette