KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) menegur kepimpinan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) supaya berhenti menuding jari.
MITRA sebaliknya kembali kepada matlamat asal penubuhannya untuk memperkasa sosioekonomi masyarakat India.
Pengasas merangkap Presiden DSK, Datuk N Sivakumar berkata, sejak penubuhan SEDIC pada 2014 dan penjenamaan semula kepada MITRA pada 2018, agensi itu sering terpalit dengan masalah setiap kali berlaku pertukaran struktur pentadbiran.
“Cukuplah dengan permainan politik. Fikirkan masa depan rakyat yang terumbang-ambing. MITRA sepatutnya memikul tanggungjawab menjaga nama baik, mematuhi tatakelola dan berkhidmat demi rakyat bukannya untuk kepentingan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengimbas bagaimana SEDIC yang diwujudkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak menjadi titik permulaan usaha kerajaan memajukan komuniti India sebelum melalui beberapa kali penstrukturan semula termasuk diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Sivakumar berkata, walaupun Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, pernah membawa pendekatan baharu termasuk mengadakan jelajah ke seluruh negara dan melantik wakil negeri dalam jawatankuasa khas MITRA, pencapaian semasa masih mengecewakan.
“Bayangkan, hanya 16 program diluluskan menerusi permohonan geran walaupun kerajaan memperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan 2025 untuk memperkasa komuniti India,” ujarnya.
Katanya, sudah tiba masa, kepimpinan MITRA menumpukan sepenuhnya kepada memperbaiki organisasi, melaksanakan program pemakmuran komuniti dan menghentikan budaya menyalahkan pihak lain.- MalaysiaGazette