KUALA LUMPUR – “Silambam pernah dijanjikan untuk dimasukkan sebagai sukan pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) tapi kini hilang dari senarai”.
Itu luahan kecewa Pengasas Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar yang mendakwa keputusan terbaru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghancurkan harapan ramai atlet muda.
Beliau berkata, pengguguran Silambam daripada senarai 30 sukan wajib dan empat sukan tambahan untuk temasya Sukma 2026 bukan sahaja mengecewakan malah bercanggah dengan janji kerajaan sebelum ini.
“Pada 20 Ogos 2024 di Sarawak, Menteri KBS pernah menyatakan Silambam akan disenaraikan sebagai sukan pingat dalam Sukma 2026. Kini apa sudah jadi dengan keputusan yang telah dicapai pada 12 Jun 2023 itu?” soal Sivakumar dalam kenyataan media sebentar tadi.
Walaupun beliau menyambut baik kemasukan catur, e-sukan, kriket dan kabaddi sebagai sukan tambahan, Sivakumar menegaskan Silambam iaitu seni mempertahankan diri tradisional kaum India wajar diberikan tempat setara.
“Keputusan ini mencantas impian atlet Silambam yang telah berlatih bertahun-tahun untuk mengangkat nama sukan ini ke peringkat nasional,” tegasnya.
Menurut beliau, alasan yang sering digunakan Silambam tidak termasuk dalam sukan Olimpik tidak boleh diterima kerana banyak lagi sukan bukan Olimpik yang tetap mendapat tempat di Sukma dan temasya antarabangsa lain.
“Tidak semua sukan perlu tunggu Olimpik baru layak ke Sukma. Kabaddi pun tiada di Olimpik, tapi diberi ruang kerana ia sebahagian daripada warisan. Mengapa tidak untuk Silambam?” katanya.
Beliau turut mengingatkan Kerajaan Madani yang sebelum ini berjanji akan memberi perhatian kepada sukan tradisional sebagai usaha melestarikan budaya dan membuka peluang kepada bakat-bakat dari semua kaum.
Sivakumar menyeru KBS dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma agar meneliti semula keputusan itu dan memastikan Silambam diberi pengiktirafan sewajarnya bukan sekadar sebagai sukan demonstrasi semata-mata seperti yang berlaku pada edisi lalu.
“Sukan bukan sekadar hiburan. Ia membina jati diri, menyatukan rakyat dan menjadi saluran penting pembangunan negara. Jangan biar semangat anak muda yang bersungguh-sungguh dalam sukan ini dipadam begitu sahaja,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette