Mahima minta wakil rakyat bawa iklan pekerjaan, rumah berbaur perkauman ke Parlimen

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa wakil rakyat tidak hanya menyuarakan kebimbangan berhubung diskriminasi kaum dalam iklan kerja dan sewaan rumah melalui media, tetapi isu tersebut perlu dibawa ke peringkat Parlimen.

Menurut Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar, ini bagi memastikan penyelesaian konkrit digubal di peringkat dasar dan perundangan. 

“Saya menyambut baik keberanian YB Syerleena (Ahli Parlimen Bukit Bendera) yang lantang menentang iklan yang mengehadkan peluang kepada kaum tertentu.

“Ini bukan isu baharu, tetapi sangat sedikit pemimpin politik yang benar-benar tampil menyuarakan perkara ini secara terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang baru-baru ini menggesa agar sebarang iklan berbentuk diskriminasi kaum dihentikan segera, khususnya melibatkan peluang pekerjaan dan penyewaan kediaman.

Sivakumar berkata, sudah tiba masanya isu iklan berbaur perkauman dibawa secara serius ke Parlimen untuk dibahaskan dan digubal sebagai undang-undang, kerana ia melibatkan hak asasi rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

“Ramai graduan yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi dinafikan peluang hanya kerana faktor bangsa dan bahasa. Begitu juga mereka yang sukar mendapatkan rumah sewa walaupun mempunyai pekerjaan yang baik. Sampai bila kita mahu terus membiarkan diskriminasi ini berlaku di depan mata,” ujarnya.

Menurut Sivakumar, Kementerian Perpaduan dan kementerian-kementerian berkaitan perlu melihat isu ini sebagai satu ancaman kepada perpaduan nasional, dan bukan sekadar masalah individu atau kelompok kecil.

Berikutan itu, beliau mencadangkan agar Ahli Parlimen Bukit Bendera itu membawa isu ini ke peringkat kepimpinan pusat partinya, DAP dan seterusnya mendesak agar kerajaan mengambil pendirian yang lebih tegas dan menyeluruh. -MalaysiaGazette