Mahima tak puas hati dengan jawapan Azalina

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) tidak berpuashati dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung tiada tindakan terhadap Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.

Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar menyifatkan alasan ‘tiada bukti yang mencukupi’ sebagai satu bentuk penafian.

“Saya terkilan dan tidak berpuas hati apabila menteri menyatakan bahawa tiada bukti yang cukup untuk mendakwa individu yang jelas telah membuat kenyataan bersifat rasis dan menghina agama lain.

“Bukti macam mana lagi diperlukan? Rakaman, hantaran media sosial serta laporan polis terhadap mereka bukanlah rekaan. Ia tular dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam di Dewan Rakyat, Azalina memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan berdasarkan aduan yang diterima namun Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menemui bukti mencukupi untuk meneruskan pendakwaan terhadap kedua-dua individu.

Mengulas lanjut, Sivakumar mempersoalkan kewajaran alasan tersebut memandangkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti 3R (Raja, Agama, Kaum) telah tersebar meluas di media sosial tanpa sebarang tindakan tegas.

Dalam masa sama, Sivakumar menyatakan sokongan terhadap kenyataan tegas yang dibuat oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang sebelum ini turut menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung isu yang sama.

“Sekurang-kurangnya ada seorang pemimpin India yang berani bersuara dalam isu 3R walaupun negara ini punya ramai pemimpin dan wakil rakyat India terutamanya dalam kalangan kerajaan. Saya hormat dan berterima kasih dengan Tan Sri Vigneswaran kerana tampil dengan pendirian tegas,” katanya.

Dalam pada itu, Mahima menggesa agar kerajaan lebih telus, bertanggungjawab dan konsisten dalam menangani isu-isu yang menyentuh keharmonian nasional agar prinsip Malaysia Madani bukan sekadar retorik, tetapi benar-benar diterjemahkan dalam tindakan. – MalaysiaGazette