KUALA LUMPUR – Ketiadaan peruntukan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi penganjuran Karnival Bahasa Tamil peringkat daerah yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menimbulkan tanda tanya.
Ini kerana menurut pengasas merangkap Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar, meskipun inisiatif tersebut bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda serta mengasah bakat pelajar melalui aktiviti ko-akademik.
Namun penganjuran program itu kini sepenuhnya bergantung kepada usaha pihak sekolah khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang dilantik sebagai tuan rumah.
“Tiada sebarang peruntukan disalurkan oleh JPN. Sekolah yang terpilih terpaksa mencari dana sendiri bagi memenuhi keperluan penganjuran, sedangkan program ini adalah arahan KPM dan menjadi sebahagian daripada KPI daerah,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai tanda sokongan kepada pembangunan pelajar, beliau telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada pihak penganjur Karnival Bahasa Tamil Daerah Gombak baru-baru ini.
Namun pada masa sama beliau mempersoalkan bagaimana daerah lain akan melaksanakan karnival tersebut tanpa bantuan kewangan yang sewajarnya.
“Adakah wajar beban kewangan ini diletakkan sepenuhnya kepada guru-guru dan sekolah yang sudah sedia terbeban dengan pelbagai tugas? Guru bukan sahaja mengajar, malah kini terpaksa mencari penaja bagi menjayakan program yang diwajibkan,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, pendekatan ini bukan sahaja menambah tekanan kepada warga pendidik, malah membuktikan kegagalan pihak berkaitan menyediakan sokongan institusi yang sewajarnya.
Beliau menyifatkan situasi itu sebagai satu bentuk kebergantungan tidak adil terhadap usaha komuniti sekolah.
Sivakumar turut menggesa agar sistem pelaksanaan program pembangunan murid seperti Karnival Bahasa ini dikaji semula secara menyeluruh agar tidak hanya berlandaskan penunjuk prestasi semata-mata.
“Jika kita benar-benar mahu melahirkan pemimpin masa depan yang berbudaya dan berilmu, maka semua pihak termasuk kementerian, JPN, komuniti dan tokoh korporat perlu memainkan peranan secara bersama dan bertanggungjawab.
“Sudah tiba masa JPN menunjukkan komitmen yang lebih serius dalam memperkasakan agenda pendidikan murid dan tidak sekadar melepaskan tanggungjawab kepada sekolah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette