Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR 14 Nov - Majlis Kuil-Kuil & Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA) menyambut baik usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Sarawak supaya perayaan Deepavali diwartakan sebagai cuti umum.
Presiden MAHIMA, Datuk N Sivakumar, menyatakan bahawa sambutan Deepavali bukan sahaja penting bagi masyarakat Hindu di seluruh dunia, tetapi juga dirayakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
"Perayaan kebangsaan ini harus diwartakan sebagai cuti umum di seluruh negara memandangkan pelbagai kaum turut serta dalam meraikannya," katanya.
Terdaulu, melalui ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi media sosial sempena Deepavali 2024, beliau menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan perayaan Deepavali dengan meriah dan penuh kegembiraan.
Anwar juga menekankan bahawa perayaan ini seharusnya dijadikan cuti umum agar seluruh rakyat Malaysia dapat turut serta dalam sambutan ini.
Sivakumar berkata, pihaknya berharap Timbalan Perdana Menteri dapat membawa isu berkenaan ke mesyuarat bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk memastikan cuti ini diwartakan sebagai cuti umum, bukan sekadar cuti khas.
Sebelum ini, Tan Sri Abang Johari menyatakan bahawa Sarawak akan meneliti permintaan komuniti India di negeri ini untuk mengisytiharkan Deepavali sebagai cuti umum.
Kehadiran Fadillah Yusof di Majlis Makan Malam Sambutan Hari Deepavali oleh Persatuan India Kuching (IAK) di Sarawak turut membuktikan komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Anwar untuk membela nasib masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum.
Langkah ini mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk melihat kepentingan semua rakyat.
Menurut Sivakumar, kehadiran Fadillah ke sambutan Deepavali di Sarawak telah menarik perhatian ramai dan menunjukkan perpaduan serta persahabatan antara rakyat Malaysia.
“Saya berharap rakyat Sarawak dapat meraikan Deepavali sebagai cuti umum pada tahun hadapan, sekali gus memperkukuh perpaduan negara dan mengurangkan isu perkaumanm” katanya. - Media Telus