KUALA LUMPUR – Insiden seorang pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu atau Ehsa menjadi mangsa siber buli sehingga bertindak membahayakan diri bukan satu isu terpencil.
Ia sebaliknya perlu perhatian serius dan segera.
Malah Esha dilaporkan telah meninggal dunia di rumahnya pada Khamis lalu iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah.
Menurut Penaung dan Presiden Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar, TikTok yang sepatuntya menjadi platform hiburan dan penjanaan pendapatan pasif kini sudah menjadi penyebab seseorang boleh diragut nyawa.
“Tindakan Ehsa sebenarnya telah membuka mata dan membangkitkan perlunya ada undang-undang, akta atau peraturan yang perlu dikuatkuasakan serta merta bagi membendung kemelut ini.
“Saya amat menghargai pengumuman oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa menghadiri upacara pengebumian saudari Ehsa bahawa penyelesaian akan dibincang dan diteliti dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
“Kita harap dengan tindakan pantas oleh pihak berwajib seperti Kementerian dan polis akan menjadi satu pengajaran dan kesedaran kepada mereka yang melakukan gejala siber yang makin berleluasa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.