Salah tetap salah, jangan mainkan sentimen agama sepanjang masa – Mahima

KUALA LUMPUR – Kontroversi membabitkan seorang penuntut universiti yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau tidak wajar dipolitikkan atau diputar dengan naratif yang mengeruhkan keadaan.

Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkata, keputusan mahkamah hari ini menjadi tumpuan ramai dan mengambil maklum perkara yang melangkaui batas itu kini diserahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang.

Namun, katanya, isu tersebut menjadi lebih rumit apabila timbul dakwaan pelajar berkenaan sebenarnya telah memeluk Islam sejak April lalu, yang hanya didedahkan selepas lima hari kontroversi itu hangat diperkatakan.

“Persoalannya, apakah motif mendiamkan perkara tersebut pada peringkat awal sehingga persepsi awam terbentuk dengan naratif yang boleh mengeruhkan keadaan? Ramai bergaduh sesama sendiri berikutan insiden ini hingga tuding menuding agama, kepercayaan.

“Jika benar perkara itu sudah diketahui lebih awal tetapi tidak diperjelaskan, tindakan sebegini boleh disifatkan sebagai mengancam perpaduan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang beberapa hari isu itu memuncak, terdapat penganut agama tertentu dihina dan dimaki hamun di media sosial sedangkan fakta sebenar tidak dijelaskan dari awal.

Sivakumar menegaskan, memilih dan menganut agama adalah hak individu yang dijamin dalam negara ini yang mengamalkan prinsip kebebasan beragama.

“Tidak menjadi kesalahan bagi seseorang untuk memilih agama yang diyakininya. Namun adalah lebih baik dan berhemah untuk memaklumkan kepada keluarga terdekat bagi mengelakkan salah faham serta implikasi sosial yang tidak diingini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menasihati semua pihak khususnya golongan muda supaya tidak menjadikan isu sensitif sebagai bahan kandungan semata-mata untuk mengejar tontonan atau populariti segera.

“Isu 3R sangat sensitif dalam konteks negara kita. Fikir sebelum bertindak. Jangan kerana mahu perhatian sementara, kita menggadaikan masa depan dan maruah diri sendiri,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan agama individu terbabit bukanlah ukuran utama dalam menentukan salah atau benar.

“Jika dia bersalah, maka dia perlu dihukum menurut undang-undang tanpa mengira agama, bangsa atau kecenderungan politik. Prinsip keadilan mesti ditegakkan secara adil dan saksama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar bertenang, menghormati proses perundangan dan tidak membiarkan emosi serta sentimen perkauman atau keagamaan mengatasi rasional.

“Perpaduan negara ini terlalu berharga untuk digadaikan hanya kerana satu tindakan individu,” tegasnya.

Untuk makluman, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung semalam mendakwa penuntut lelaki yang tular kerana memijak al-Quran di Pahang, adalah seorang mualaf.

Firdaus menjelaskan individu terbabit memeluk Islam pada 20 April tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman mendedahkan, berdasarkan semakan pangkalan data, pelajar lelaki berusia 21 tahun tidak berdaftar sebagai mualaf. -MalaysiaGazette