KUALA LUMPUR 12 Sept – Penaung dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) Datuk N Sivakumar mempersoalkan peranan wakil rakyat kaum India yang ‘mengunci mulut’ berhubung tragedi tanah jerlus yang menimpa wanita warga India, baru-baru ini.
Menurut Sivakumar, sehingga hari ini hanya Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan yang berani bersuara mengenai tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberi pampasan RM30,000 kepada keluarga mangsa yang disifatkan tidak memadai dengan penderitaan yang dialami.
“Adakah nyawa seseorang dapat disamakan dengan nilai hanya RM 30,000 sahaja? Tidak dapat dinafikan kesungguhan kerjasama dan dedikasi oleh agensi kerajaan untuk mencari mangsa, namun kita tidak dapat abaikan kesedihan yang dialami oleh keluarga tersebut.
“Fokus saya bukanlah pada nilai pampasan, namun sikap dan perangai wakil kaum India yang tiada seorang bersuara terhadap isu ini kecuali Ahli Parlimen Tapah, Saravanan,” katanya kepada Media Telus, hari ini.
Menurutnya lagi, bagi menjaga nama baik negara, setiap individu perlu berganding bahu bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai.
“Jika berlakunya masalah melibatkan mana-mana kaum, haruslah menjadi tanggungjawab parti dan ahli Yang Berhormat kaum tersebut bersuara.
“Dari dahulu hingga sekarang, MIC berkuasa dan sedia menjaga hak kaum mereka. Namun sekarang walaupun ramai pemimpin mewakili kaum India, enggan bersuara menyampaikan pendirian mereka,” katanya. - Media Telus