KUALA LUMPUR – Tindakan tegas dan pemantauan rapi terhadap pelajar universiti perlu dilaksanakan segera bagi membendung penularan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang semakin membimbangkan.
Ia antara penegasan Pengerusi Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar Nadarajah susulan isu seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menunjukkan kaki memijak al-Quran tular di media sosial.
Tegasnya, Mahima tidak akan sesekali berkompromi dengan isu seumpama itu malah ini bukan sekadar isu disiplin sebaliknya peringatan serius terhadap rapuhnya kefahaman generasi muda mengenai sensitiviti agama.
“Ini bukan perkara kecil. Ia mencerminkan kegagalan mendidik nilai hormat dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar universiti yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivakumar berkata, perbuatan berkenaan bukan sahaja memalukan institusi pengajian tinggi malah boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, beliau memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun menegaskan, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk mencegah kejadian sama daripada berulang.
“Tindakan undang-undang perlu disertai pendidikan berterusan dan pembinaan kesedaran, bukan sekadar menghukum selepas kejadian berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi memperkukuh modul berkaitan keharmonian sosial, nilai agama dan tanggungjawab sivik dalam silibus pengajian. – MalaysiaGazette