Mahima cadang rangka kerja nasional tangani isu kuil lama

KUALA LUMPUR – Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) mengalu-alukan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menegaskan kebanyakan rumah ibadat dibina sebelum merdeka tidak wajar dianggap sebagai struktur haram.

Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar berkata, pendirian itu mencerminkan pendekatan lebih adil, realistik dan sensitif terhadap sejarah kewujudan rumah ibadat lama, khususnya kuil Hindu yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

Menurutnya, banyak rumah ibadat tersebut dibina jauh sebelum penguatkuasaan undang-undang tanah dan peraturan berkaitan pembangunan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Oleh itu, adalah tidak adil untuk menilai kewujudan rumah ibadat lama menggunakan standard perundangan yang belum wujud ketika ia didirikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, kata Kor Ming, KPKT bersedia membantu kerajaan negeri dan PBT dalam menyusun pembangunan secara lebih teratur termasuk melaksanakan proses pemutihan ke atas premis sedia ada.

Beliau berkata, pihaknya memahami terdapat rumah ibadat dibina sebelum kewujudan Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan, justeru tidak wajar dinilai sepenuhnya berdasarkan peruntukan undang-undang semasa.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, pengiktirafan terhadap faktor sejarah itu penting bagi memastikan komuniti tidak terus dibebani dengan label ‘haram’ terhadap rumah ibadat yang telah berkhidmat kepada masyarakat sejak sekian lama.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu rangka kerja nasional yang lebih jelas, sistematik dan menyeluruh diwujudkan sebelum sebarang keputusan merobohkan rumah ibadat diambil.

Menurutnya, rangka kerja tersebut perlu membolehkan status setiap rumah ibadat dinilai secara adil dan berhemah, selain menyediakan garis panduan seragam yang boleh diguna pakai di seluruh negara tanpa menimbulkan kekeliruan.

Beliau turut mengesyorkan agar proses penyelesaian dilaksanakan melalui pendekatan perbincangan, rundingan dan pemutihan melibatkan semua pihak berkepentingan supaya isu ini tidak terus menjadi polemik dalam masyarakat.

“Isu rumah ibadat tidak boleh diselesaikan melalui tindakan tergesa-gesa atau penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan pendekatan matang, inklusif dan berpaksikan prinsip perpaduan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa komited dan bersedia untuk terlibat secara langsung dan lebih proaktif bagi memastikan tiada keputusan drastik dibuat sehingga menjejaskan sensitiviti agama serta keharmonian masyarakat, khususnya dalam mengurus isu berkaitan 3R.

“Mahima juga bersedia membantu kerajaan dengan menyediakan input, pandangan, data lapangan serta bertindak sebagai rakan strategik dalam merangka sistem dan garis panduan berkaitan pengurusan rumah ibadat, selaras dengan semangat Malaysia Madani,” ujarnya. -MalaysiaGazette