Mahima sokong pendirian PM, cadang data lengkap rumah ibadat Hindu

KUALA LUMPUR –  Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) tampil menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim berhubung tindakan terhadap rumah ibadat dibina tanpa kelulusan.

Kata Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar, langkah itu perlu dilihat sebagai usaha menyusun semula dan menyelamatkan kuil-kuil Hindu di negara ini.

Jelasnya, tindakan pihak berkuasa tempatan ‘membersihkan’ rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan bukan bertujuan menekan penganut Hindu.

Sebaliknya beliau yakin komitmen itu bagi mengelakkan isu pencerobohan tanah dan perobohan secara paksa pada masa depan.

“Keputusan ini dibuat untuk mencari penyelesaian dan menyelamatkan kuil, bukan mencetuskan kemarahan. Jika kita gagal bertindak sekarang, keadaan akan menjadi lebih parah apabila undang-undang diperketatkan nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebahagian besar kuil sedia ada dipercayai dibina sejak era pemerintahan British dan kekal di lokasi asal sehingga kini sebelum berlaku perubahan status tanah yang menyebabkan banyak daripadanya berada di atas tanah tumpangan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersedia membantu pengurusan kuil khususnya yang menerima notis pemindahan, untuk mendapatkan panduan dan mencari jalan penyelesaian berkaitan isu tanah.

“Saya menyeru pengurusan kuil supaya segera bertindak dan mendapatkan nasihat. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih rumit,” ujarnya.

Sivakumar turut menegaskan, tindakan menyusun semula rumah ibadat di lokasi tidak sah akan membolehkan kerajaan membangunkan statistik serta pangkalan data lengkap dan terkini berkaitan rumah ibadat Hindu di Malaysia.

“Dengan pangkalan data yang tersusun, maklumat ini boleh digunakan untuk memohon peruntukan pembangunan kuil secara lebih teratur. Ini bukan titik permulaan konflik, tetapi usaha penstrukturan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya satu unit khas ditubuhkan di bawah Kerajaan Madani bagi mengurus dan menyelaras isu berkaitan kuil tanpa mengganggu tugas utama agensi sedia ada.

Jelasnya, Mahima boleh menjadi think-tank dan perunding untuk membantu mencari penyelesaian terbaik.

Sivakumar turut mengingatkan pengurusan kuil supaya menyediakan dokumen dan bukti kukuh berkaitan status tanah masing-masing bagi memudahkan perbincangan dengan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette