Jangan cemar keharmonian kaum selama puluhan tahun – Sivakumar

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan provokasi berunsur perkauman dan keagamaan.

Ini termasuk pihak yang merancang mengadakan perhimpunan berunsur hasutan yang lebih kepada menganggu gugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh mencemarkan imej negara serta menjejaskan keharmonian yang dibina sejak sekian lama.

“Malaysia dikenali di mata dunia bukan sahaja sebagai negara berbilang bangsa, malah disegani di peringkat antarabangsa kerana keharmonian yang terpelihara sejak puluhan tahun.

“Jangan rosakkan warisan perpaduan ini hanya kerana kepentingan sempit segelintir pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sivakumar berkata, keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan perpaduan sebagai teras utama pentadbiran.

Sivakumar mengingatkan semua pihak supaya tidak meneruskan sebarang perhimpunan atau tindakan provokatif yang boleh mencetuskan ketegangan awam khususnya menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia hari ini.

Sivakumar turut menyeru seluruh rakyat supaya bertindak secara matang, menghormati antara satu sama lain serta bersama-sama mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tahap disiplin dan keharmonian yang ditunjukkan rakyat Malaysia sepanjang sambutan Thaipusam baru-baru ini yang disifatkan sebagai bukti kematangan masyarakat berbilang kaum dalam menjaga keamanan bersama.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi berkaitan atas komitmen memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan berkenaan. – MalaysiaGazette