KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Thaipusam yang dijangka menghimpunkan jutaan penganut Hindu di Batu Caves, isu pembinaan eskalator tiba-tiba menjadi pertikaian perundangan apabila permohonan projek itu didakwa dibuat atas nama individu.
Dakwaan itu dibuat oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, V Paparaidu sekali gus mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat India.
Paparaidu berkata, kelulusan tidak dapat diberikan kerana permohonan menggunakan nama individu.
Namun peguam yang mewakili pengurusan kuil, Datuk Selva Mookiah pula menegaskan, Kuil Sri Maha Mariamman bukan pertubuhan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebaliknya ditadbir sebagai Amanah Khairat Kebajikan atau charitable trust.
“Terdapat lebih daripada satu kaedah sah bagi sesebuah rumah ibadat beroperasi di Malaysia. Kuil ini berada di bawah struktur Amanah Kebajikan dan berada di bawah pengawasan Peguam Negara.
“Kerana itu juga permohonan pembinaan telah dibuat atas nama pengerusi kuil dengan kelulusan semua Lembaga Pemegang Amanah Sri Maha Mariamman Devasthanam.
“Ini bukan permohonan individu seperti didakwa sebaliknya keputusan bersama mengikut lunas undang-undang namun kini ia sudah menjadi polemik serta mengundang fitnah,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kuil, Tan Sri R. Nadarajah, menegaskan, tanah dan harta kuil bukan milik individu sebaliknya dipegang sepenuhnya di bawah nama pemegang amanah kebajikan.
“Ini adalah sebuah kuil. Tanah dan harta kuil semuanya dipegang atas nama pemegang amanah bukan individu. Ia ditubuhkan melalui perintah mahkamah sejak 1930,” katanya.
Beliau menambah, jawatan pemegang amanah bersifat sementara dan tertakluk kepada keputusan lembaga pengurusan.
“Pemegang jawatan hanya memegang jawatan selama tiga tahun dan boleh digantikan atau dilantik semula oleh Lembaga Pengurusan. Ia bukan jawatan kekal atau kepentingan peribadi,” katanya.
Nadarajah turut menolak dakwaan beliau bertindak untuk kepentingan peribadi dalam cadangan pembinaan eskalator tersebut.
“Niat saya hanya mahu memudahkan penganut dan pengunjung termasuk pelancong khususnya menjelang Thaipusam tetapi perkara ini telah disalah tafsir dan akhirnya menjadi fitnah,” dakwanya.
Tambah beliau, dirinya mahupun pengurusan tidak sesekali berniat membawa isu itu kepada umum melalui sidang media atau mengikut lunas undang-undang tetapi mendakwa fitnah perlu kita selesaikan.
“Masyarakat di luar bergaduh dan prasangka. Ini perlu diperbetulkan.
“Kami mempunyai hubungan cukup baik dengan kerajaan Negeri mahupun Menteri Besar Selangor, beliau sentiasa prihatin dengan isu yang kami bawa tanpa prejudis. Namun ada segelintir yang sampaikan fakta tidak betul,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Selva mengesahkan pengurusan kuil telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap beberapa agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau menegaskan, Kuil Sri Maha Mariamman merupakan kuil pra-kemerdekaan yang wujud berdasarkan perintah mahkamah dan kedudukan undang-undangnya sebagai Amanah Khairat Kebajikan adalah jelas. – MalaysiaGazette